Monday, November 17, 2014

Bahagian 2

Saya duda, anak satu - Muhamad Dani

            Suasana lengang di kafeteria langsung tidak mengganggu Muhamad Dani. Matanya ralit melihat skrin Samsung Galaxy S4 miliknya. Sesekali dia tersenyum sendirian membaca perbualan rakan-rakan sekerjanya di dalam grup Whatsapp mereka.

“Merapu betul!” katanya sendirian sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia malas mahu menyampuk perbualan rakan-rakannya itu.

Selain daripada mengisi perutnya yang lapar, Muhamad Dani selalu menghabiskan masa rehatnya di situ kerana terdapat perkhidmatan WiFi percuma yang disediakan oleh pihak atasan untuk pekerja-pekerja kilang perkakasan komputer itu.

Dia menggunakan kesempatan pada waktu rehatnya untuk melayari internet dan berbual-bual dengan kenalan rapat dan juga kenalan mayanya untuk menghilangkan tekanan kerja.

Ditekannya butang Home Screen. Pantas jarinya menekan ikon berbentuk kucing yang baru dimuat turun sebentar tadi. Laju dia mengisi butir-butir diri di dalam profil Meow. Aizat, rakan sekerjanya ada menceritakan mengenai aplikasi terbaru yang tengah hangat digunakan oleh mereka untuk meluaskan rangkaian sosial yakni mencari rakan-rakan baharu.

‘Hang try la Dani. Mana tau kot-kot boleh jumpa jodoh baru. Haha!” kata Aizat sambil menepuk-menepuk bahu Muhamad Dani yang sedikit berisi itu.

Setelah berpuas hati dengan profilnya, Muhamad Dani terus menekan menu Explore untuk mula mencari rakan-rakan baru. Perempuan semestinya. Perlahan-perlahan diskrolnya senarai pengguna Meow yang dipaparkan di dalam skrin Explore itu.

Matanya tertarik pada gambar gadis berbaju pink dan berselendang pink ungu. Gadis comel itu tersenyum manis dengan jarinya membuat simbol Peace. Ditekannya profil gadis tersebut.

“Aha, tengah online,” katanya sendirian.

Matanya ligat membaca profil gadis tersebut. Tertarik pula Muhamad Dani dengan statusnya, ‘Alien Mencari Cinta’.

Dia berkira-kira mahu menegur gadis yang menggunakan id ‘MekJa’ itu. Tetapi jarinya tetap menekan butang Message. Dia memberanikan diri dan mula menaip.

 MuhamadDani: Assalamualaikum. J
MuhamadDani: Alien mencari cinta?
MuhamadDani: Dah jumpa ke cinta yang dicari?
MuhamadDani: Boleh kenal-kenal tak ni?

Lama dia menunggu. Kelihatan pada tepi mesejnya itu tertulis status READ menandakan mesejnya telah dilihat dan dibaca oleh gadis tersebut. Tetapi tidak dibalasnya.

“Dia tak berminat kot. Menyesal pula letak gambar betul kat DP tu,” kata Muhamad Dani pada dirinya sendiri. Mungkin gadis itu tidak mahu menjawab mesejnya setelah melihat gambarnya.

Ditekannya butang Home Screen semula .Lampu telefonnya berkelip menandakan ada mesej yang masuk untuk aplikasi Whatsappnya. Dibacanya sekilas. Merapu benar topik perbualan rakan-rakannya itu.

‘Tut’. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Menandakan ada mesej masuk daripada aplikasi Meow. Disapunya skrin sentuh untuk melihat siapa yang menghantar mesej tersebut. Si gadis berbaju pink itukah?

Muhamad Dani tersenyum menampakkan lesung pipitnya yang dalam itu. Gadis berbaju pink itu membalas mesejnya. Sungguh tidak disangka olehnya. Beberapa orang gadis  lagi yang ditegur tidak memberikan balasan kepada mesej-mesejnya.

“Oh, Zara namanya. Tentulah boleh dilihat dari id yang digunakannya,” Muhamad Dani memberitahu pada dirinya sendiri.

Mereka berbalas-balas mesej. Muhamad Dani teragak-agak untuk memberitahu statusnya yang sebenar apabila Zara bertanyakan status perkahwinannya.

MekJa: Awak pulak? Married?
MuhamadDani: Saya, pernah nikah dan sekarang bujang kembali. J

Zara bertanyakan soalan bertalu-talu apabila Muhamad Dani memberitahu statusnya yang sebenar, duda anak satu. Hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui bahawa Muhamad Dani telahpun menduda sejak dua tahun yang lalu. Hanya rakan-rakan dan saudara terdekat sahaja yang tahu.

MekJa: Oooo..duda ek? Cerai hidup atau cerai mati?
MekJa: Ada anak?
MekJa: Hehe..sorry banyak tanya.
MuhamadDani: Tak apa. Cerai hidup, awak.
MuhamadDani: Anak ada seorang. Tapi duduk dengan mama dia. J
MekJa: Ooooo
MuhamadDani: Awak tak kisah ke nak kawan dengan duda ni?
MekJa: Saya tak kisah sangat. Pada saya peribadi dan akhlak orang tu yang penting bukannya status perkahwinan dia.
MekJa: Janji bukan suami orang. Saya betul-betul hargai kejujuran awak. J

Jawapan Zara mengatakan dia tidak kisah mengenai status perkahwinan seseorang menyebabkan senyuman Muhamad Dani semakin tidak dapat disembunyikan. Terserlah betapa dalamnya lesung pipit di pipinya.










No comments:

Post a Comment